KUALA LUMPUR,14 April (SK) : Lapan Adun Barisan Nasional Terengganu bertindak memulaukan sidang DUN yang berlangsung hari kedua pagi ini bagi memaksa Menteri Besarnnya Ahmad Said meletak jawatan.
Berikutan isu yang dilaporkan semalam bahawa tiga Adun BN telah membuat laporan polis setelah menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan supaya tidak meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar itu.
Dalam SMS itu, katanya, individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing - dilaporkan berhubung isu membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Ahmad Said pada persidangan DUN semalam.
Ugutan itu dipercayai dibuat oleh pegawai kanan kerajaan negeri yang memihak kepada Ahmad Said.
Wakil Paka, Zakaria Abdullah dan Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat aduan di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam telah membuat laporan polis menyatakan bahawa mereka diugut akan dibunuh yang berbunyi: -
“baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”.
“Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat.
“Nyawa orang tidak boleh nak ugut, saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran,” kata Abdul Halim.
Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kira-kira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.
Adun Ajil, Rosol Wahid pula membuat laporan sama di ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam semalam.
Sementara itu, Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata Pas akan menyokong sebarang usul tidak percaya sekiranya dikemukakan terhadap Ahmad Said.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan kesangsian samada wakil rakyat BN mahu menumbangkan kerajaan mereka sendiri.
“Memang benar Menteri Besar sekarang tidak popular dan banyak rungutan terhadap beliau dikalangan pemimpin Umno negeri.
“Ahmad Said juga dikatakan telah menyebabkan perkhidmatan sivil negeri Terengganu berpecah dan berpuak-puak kerana sikap beliau.
“Beliau juga tidak banyak membawa pembangunan kepada negeri Terengganu sejak dilantik menjadi Menteri Besar dan hanya meneruskan projek-projek terdahulu,” jelas Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
“Mereka sedang berbincang dan ada juga mendapatkan pandangan pihak PAS. Saya tidak rasa mereka nak jatuhkan Menteri Besar kerana ini akan merugikan mereka juga,” ujar beliau lagi.
Masa depan politik Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said kini dilihat sebagai telur dihujung tanduk apabila desas desus bertiup kencang usul undi tidak percaya terhadap beliau akan dikemukakan oleh ahli-ahli undangan negeri daripada BN di sidang dewan negeri yang sedang berlangsung.
Suara Keadilan Online Krisis di Terengganu: Adun pulau sidang dewan paksa MB letak jawatan